Tuesday 25 October 2011

Alat muzik tradisional Melayu


 ALAT-ALAT  IDIOFON

Sejarah  Ringkas - Perkembangan Alat Gong

           Alat 'Gong' di dunia wujud dalan dua bentuk yang khusus iaitu satu yang mempunyai 'busut' ataupun 'tombol'.Perkataan 'Gong' yang digunakan secara meluas di seluruh dunia sekarang ini berasal daripada perkataan Melayu/Indonesia.
           Keluarga 'Gong' di Malaysia secara umunya adalah terdiri daripada jenis-jenis yang berbusut ataupun yang 'bertombol'. Ianya diperbuat daripada bahan-bahan asas seperti tembaga, timah, dan besi dan terdapat dalam berbagai bentuk dan ukuran yang kelihatan begitu berbeza di antara satu dengan yang lain termasuk juga pic dan timbre.
           Istilah tetawak yang sering kita dengar secara tradisi adalah merupakan satu istilah tempatan ataupun daerah bagi alat 'gong' yang digunakan secara meluas oleh masyarakat di negeri Kelantan khususnya dan juga di negeri-negeri lain di Malaysia.Di kalangan masyarakat di Sabah alat 'gong' dari jenis yang sama dikenali sebagai 'Tawag'.
           Pada masa kini terdapat juga alat 'Tetawak' yang diperbuat daripada besi sebagai alternatif oleh pakar-pakar dari kalangan masyarakat tempatan.Mereka menggunakan teknik 'petri' ataupun dibentuk daripada objek seperti 'leger' iaitu tong-tong minyak yang sedia ada kemudian dipetrikan.
                   


GONG / TETAWAK IBU

Gong /Tetawak Ibu mendukung peranan sebagai alat kolotomik yang utama dalam budaya muzik masyarakat Melayu tradisi  di Malaysia.Ianya sering digunakan secara berpasangan dengan Tetawak anak  khususnya dalam ensemble bagi mengiringi teater tradisional seperti Mak Yong, Wayang Kulit Kelantan, Menora dan Main Petri serta tarian klasik istana dan tarian-tarian rakyat.
          Tetawak ibu, secara dikotomi, mempunyai pic suara yang lebih rendah dan bentuk fizikal yang lebih besar dari Tetawak Anak.Dalam konteks persembahan, pada prinsipnya Tetawak  Ibu dan Anak digantungkan pada tiang yang diukir khas dan Tetawak Ibu  hendaklah berada di sebelah kiri pemain.






CANANG

Canang sejenis alat daripada keluarga gong yang berukuran  kecil.Berperanan sebagai alat penanda masa dalam ensemble paluan tradisional yang terdapat di Kelantan.
   Dalam konteks persembahan yang berhubung dengan teater tradisional ianya disertakan secara berpasangan iaitu Canang ; 'ibu' dan 'anak'.Manakala dalam ensemble bagi mengiringi tarian istana seperti
Asyik, mengikut amalan semasa Canang digunakan sebanyak empat biji dilaraskan mengikut sistem diatonic
yang mempunyai pic suara yang tepat.Lazimnya dalam ensemble paluan Asyik, Canang yang bernada seperti C,D,E dan g mengikut skala Major, digunakan untuk memainkan mode rithme yang bersifat minimalism iaitu secara berulang-ulang.Kini terdapat dua jenis Canang yang sering digunakan iaitu diperbuat daripada 'besi' dan 'gangsa'.Gambar yang dipamerkan ini ialah Canang Asyik yang diperbuat daripada gangsa dan Canang Ibu dan  Anak yang diperbuat daripada besi, mempunyai tombol yang kecil serta dinding yang rendah.





KEMPUL

 Kempul, berperanan sebagai alat kolotomik dalam rangakaian Gamelan di Malaysia yang berhubung dengan genre Gamelan Melayu.Ianya merupakan satu penambahan baru daripada yang sedia ada.Disiplin asal yang hanya terdiri daripada alat-alat seperti Bonang/Keromomg, Gambang kayu, Saron Barung, Kenong, sebiji Gendang Dua Muka serta Gong Agung dan Gong Suwukan, tetapi mampu untuk menghasilkan suatu fisikal muzik yang dinamis bagi memenuhi keperluan tarinya.
       Kempul yang disertakan dalam satu oktaf dan berlaras anhemitonic pantatonic, berkongsi tiang bersama-sama Gong Agung dan Suwukan dan dimainkan oleh seorang pemain.

Ensemble lengkap Gamelan Melayu




BONANG

Gong yang berukuran kecil dan diperbuat daripada 'perunggu' merupakan alat melodi utama dalam ensemble Gamelan Melayu.Mengandungi dua oktaf dan disusun di atas tapak khas secara mendatar dalam kedudukan yang menyongsang.
      Secara fizikal, alat Bonang mempunyai bentuk seperti kendi 'degung'. Secara dikotomi Bonang yang beroktaf rendah dikenali sebagai wedok(perempuan) dan yang beroktaf tinggi sebagai lanang(lelaki) mengikut bahasa Jawa.
Dalam permainan Gamelan melayu, melodi pokok diimprovisasikan  yang dapat diterjemahkan sebagai heterofoni.Di kalangan masyarakat di Terengganu khususnya, secara tradisi, alat Bonang dikenali sebagai Keromong, yakni memakai sistem nama yang hampir sama dengan alat keluarga Gong yang terdapat di Sarawak, dikenali sebagai 'engkeromomg' manakala dalam tradisi Gamelan di Johor, Bonang merupakan alat terpenting dalam ensemble yang menvariasikan melodi pokok ataupun lebih tepat.




KESI

Sejenis alat idiofon dari keluarga 'simbal' yang dibentuk daripada kepingan tembaga.Bahagian tengah permukaannya kelihatan melengkung ke dalam.Berperanan sebagai alat pelengkap irama dalam ensemble paluan tradisional. Ianya disertakan dalam dua pasangan iaitu salah satu daripadanya dipaku pada tapak kayu secara kekal dan yang satu lagi dipasangkan dengan tali.Untuk menghasilkan bunyi, alat-alat tersebut dilagakan dengan menggunakan kaedah hentakan. Digunakan dalam ensemble paluan tradisional pada mulanya berkembang di negeri Kelantan seperti Wayang Kulit, Mak Yong dan Menora serta ensemble paluan untuk mengiringi tarian tradisional seperti Asyik dan Wau Bulan.Suara yang dapat dihasilkan oleh alat ini adalah gemersik dan memecah.




GAMBANG  KAYU
Sumber bunyinya  berasaskan kepada kayu yang dilaraskan mengikut pic yang dikehendaki dan diatur di atas kotak kayu yang berfungsi sebagai kotak gema.Kepingan kayu itu dikenali sebagai 'belira' di negeri Kelantan.Terdapat juga belira-belira bagi alat Gambang yang diperbuat daripada buluh dan kayu nibong, dipercayai dapat menghasilkan suara yang lebih mantap.Kayu-kayu jenis keras daripada spesis seperti nangka, merbau ataupun cengal seperti yang terdapat pada alat 'Ranak Ek' di Thailand, sering digunakan untuk membuat belira bagi alat Gambang.
          Dalam rangkaian ensemble Gamelan Melayu di Malaysia, Gambang  kayu yang mengandungi beberapa oktaf digunakan sebagai alat melodi.Ianya dipukul dengan sepasang kayu pemukul khas untuk menghasilkan bunyi dan dilaras mengikut sistem anhemitonic pentatonic.



 SARON

 Alat idiofon yang berbentuk bilahan ataupun slab-typed yang diperbuat daripada perunggu.Bilah-bilah tadi disusun di atas tapak kayu sebagai ruang gema. Merupakan alat penambahan baru bagi ensemble Gamelan Melayu.Berperanan  seabagai alat melodi yang menggandakan melodi pokok.Dalam proses penghasilan bunyi, kayu pemukul khas digunakan, lazimnya dari jenis yang lembut.
        Dalam tradisi Gamelan yang berkembang di Johor, Saron digunakan sebagai alat melodi yang membawa melodi pokok dan juga bunga-bunga lagu mengikut irama-irama tertentu yang lebih bersifat dekoratif.Bilahan bagi alat Saron tersebut lazimnya diperbuat daripada besi yang menggunakan teknik kikir dan tempa.



 ANGKLUNG

Alat idiofon yang digoyang.Ianya diperbuat daripada pipa ataupun tabung buluh yang terpilih.Sebuah Angklung lazimnya terdiri dari dua hingga empat tabung yang diikat pada 'rumahnya' yang dikenali sebagai 'ancak'.
     Angklung untuk melodi dilaras dalam jarak ataupun jeda satu oktaf di antara satu sama lain.Permainan muzik Angklung sering dipersembahkan secara berkumpulan untuk majlis keraian dan juga iringan tarian seperti 'Kuda Kepang' dan 'Barungan' yang mula berkembang di Johor.
      Dalam persembahan  Kuda Kepang, lazimnya tiga ataupun empat buah Angklung  digunakan untuk  mode rithme sebagai pelengkap kepada fizikal lagunya yang disertai bersama alat-alat dari disiplin Gamelan.
      Tradisi kesenian muzik Angklung yang berkembang di Malaysia sekarang ini adalah berasal dari Tanah Jawa, Indonesia.Proses penalaan Angklung dilakukan dengan  melaras bibir alat dan ketukkan pada kakinya ataupun ditiup pada bibirnya.



 ALAT-ALAT  MEMBRANOFON

 Sejarah Ringkas- Alat Gendang

      Alat-alat gendang juga penting sebagai alat perkusi dalam pembinaan sesebuah struktur muzik tradisional di Malaysia.Mengikut Curt Sachs, Gendang bermula dari zaman Neolitik iaitu Zaman Batu Muda




                        KOMPANG

        Mempunyai baluh 'berbingkai' yang diperbuat kayu jenis keras.Lazimnya daripada spesis Nangka dan nama saintifiknya Artocarpusheterophyllus.Belulang dariapada kulit kambing digunakan sebagai bahan bunyi yang dipasang pada permukaan baluhnya dengan menggunakan bahan-bahan pelekat kemudian ditindih dengan paku supaya ketegangannya lebih terjamin.Kompang juga memerlukan rotan sedak sebagai alat tala untuk menghasilkan suara yang baik.
         Permainan Kompang lazimnya dimainkan secara berkumpulan dalam keadaan 'bersila', 'berdiri', ataupun 'berarak' mengikut keperluannya.Dalam teknik penghasilan bunyi, pemain akan menggunakan sebelah tangan untuk memegangnya dan menggunakan sebelah tangan lagi utnuk memegangnya. 



                    REBANA 

          Sejenis gendang satu muka yang berbentuk  seperti pasu.Ianya sering digunakan dalam ensemble muzik sinkretik yang berkembang di kalangan masyarakat Melayu bandaran seperti Dondang Sayang, Joget Inang, Masri, Zapin, Cinta Sayang Melayu Asli dan Ayam Didik.
          Dalam konteks persembahan,Rebana akan diletak di atas riba pemain dan dipalu dengan tangan.Ianya dapat menghasilkan pic suara asas seperti mnemonik 'tak' dari bahagian tepi alat berkenaan.Peranannya dalam ensemble adalah sebagai penyokong  irama dengan pola-pola paluan yang dapat diketegorikan  sebagai irama asas(basic) penambahan(additive) dan menyilang iaitu cross rythme.
     

             GENDANG  IBU    

        Gendang 'dua muka' yang berukuran besar dan ditakrifkan sebagai Gendang Melayu.Ianya mula berkembang di negari Kelantan dan digunakan sebagai alat genderang  dalam ensemble paluan untuk mengiringi teater tradisional serta tarian klasik istana dan rakyat.
         Dalam konteks persembanhan Gendang  Ibu(Gendang dua muka) akan disertai dengan Gendang Anak untuk meemainkan pola-pola paluan yang khusus secara meningkah bagi pembinaan setiap struktur irama mengikut disiplin yang didukunginya seperti ensemble Wayang Kulit, Mak Yong, Menora, Gamelan dan Silat.
 

5 comments:

  1. sy tgh cari info utk kerja sekolah anak td..
    untung ada info camni.. kalo tak tu jenuh jugak nak cari lam kamus :)
    very usefull info!!

    ReplyDelete
  2. amat membantu saya ...sebagai rujukan...terima kasih atas perkongsian ini....semoga Pn. Rashidah sukses berkarya lagi..

    ReplyDelete
  3. waaahh...terima kasih la bebanyak..semoga Allah sahaja yg dpt membalas jasa baik anda....sy tengah mencari maklumat utk kerja sekolah anak gak nih....

    Terima kasih

    ReplyDelete
  4. Kat mane boleh beli gong?
    Sape2 yg tahu blh tlg contact sy 0199330292

    ReplyDelete
  5. bagus2 ramai anak muda sekarang ni tak tahu apa alat tradisional melayu . sungguh mengecewakan saya sebagai cikgu dan pensyarah melihat markah muzik pelajar2 saya sangat... hmm tak tahu la tapi saya ucapkan terimak kasih kepada sang penulis..

    ReplyDelete